Monday, May 22, 2017
Text Size
English Arabic Chinese (Simplified) Italian Malay
  • World Class Management Studies Programme

  • Audit Swaakreditasi

  • 1
  • 2
  • 3
  • 4
  • 5
  • 6

Pertandingan Debat Pengurusan IPT 2014 Tutup Tirai, Nobat UiTM Sebagai Juara

Share

PERTANDINGAN DEBAT PENGURUSAN IPT 2014 TUTUP TIRAI, NOBAT UiTM SEBAGAI JUARA

Published on Monday, 22 September 2014

UUM ONLINE :

Pertandingan Debat Pengurusan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2014 anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Majlis Debat Universiti-universiti Malaysia (MADUM) melabuhkan tirainya malam tadi dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan akhir yang dilangsungkan di Dewan Mu’adzam Shah, UUM.

Berhujah selaku pembangkang, UiTM yang dibarisi Zurutul Ain Zainol Abidin, Tengku Izwan Fareed Tengku Ismail, Muhammad Syahmi Rosli dan Muhammad Dinie Asyraf Salim berjaya menewaskan pencabar dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang berhujah selaku kerajaan dalam mendebatkan usul “Demi Kecekapan Pengurusan, Universiti Perlukan Persijilan ISO.”

Upacara perasmian pertandingan akhir debat tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor, Yang Berbahagia Prof Dato Wira Dr. Mohamed Mustafa Ishak. Menurut beliau, pertandingan debat merupakan salah satu cara yang terbaik untuk meningkatkan soft skills ataupun kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar yang mana amat diperlukan dalam sektor pekerjaan.

“Aktiviti debat dan perbahasan sebegini dapat menyumbang potensi yang besar kepada pembinaan karakter mahasiswa terutama sekali keyakinan diri. Perdebatan memperlihatkan cara berfikir yang pantas, kepantasan dan keupayaan menghuraikan fakta dan idea, mematahkan hujah-hujah lawan secara bernas, logik, objektif dan jelas. Ini semua merupakan perara-perkara penting bagi membangunkan kemahiran artikulasi dalam kalangan mahasiswa kerana untuk menjadi pemimpin yang baik mahasiswa mesti berupaya mengartikulasikan pemikiran secara jelas dan kritis agar boleh difahami oleh orang lain,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan.

Pertandingan Debat Pengurusan IPT yang julung kali diadakan ini dianjurkan oleh College of Law, Government and International Studies (UUM COLGIS) sempena ulang tahun ke-30 UUM dan menerima penyertaan sebanyak 20 IPT di seluruh Malaysia bertujuan memupuk semangat setia kawan antara mahasiswa universiti awam mahupun swasta.

Antara IPT yang mengambil bahagian ialah UUM, Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, UiTM, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, UTHM, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Selangor, Universiti Tun Abdul Razak, Universiti Kuala Lumpur, Monash University KL, Kolej Universiti Insaniah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra dan Politeknik Premier Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah.

UiTM selaku johan pertandingan membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM 5,000 serta Piala Iringan; Naib Johan UTHM membawa pulang RM 3,000 serta Piala Iringan manakala Pendebat Terbaik yang dimenangi oleh Amirul Faiz Abd Latiff dari UTHM menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah RM 1,000. Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh isteri Naib Canselor, Yang Berbahagia Datin Norhayati Nazri.

Hadir sama menyaksikan pertandingan akhir debat ini ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof Madya Dr. Abdul Malek Abdul Karim; ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti dan pegawai-pegawai kanan universiti.

Habis.

===============================

DARIPADA:

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

UNIVERSITI UTARA MALAYSIA

TEL.: 04-928 3048/3049/3042/3040

FAKS: 04-928 3053

E-MEL: ukkuum@uum.edu.my

FACEBOOK: Universiti Utara Malaysia (Official FB)

  1. e-Application
  2. Intranet Systems
Legal Disclaimer |Privacy & Security Policy |Copyright | Site Map | FAQ's | Service Desk | User Support | hit counter script