Monday, May 22, 2017
Text Size
English Arabic Chinese (Simplified) Italian Malay
  • World Class Management Studies Programme

  • Audit Swaakreditasi

  • 1
  • 2
  • 3
  • 4
  • 5
  • 6

20 IPT Berentap Dalam Pertandingan Debat Pengurusan IPT 2014

Share

20 IPT BERENTAP DALAM PERTANDINGAN DEBAT PENGURUSAN IPT 2014

Published on Monday, 22 September 2014

UUM ONLINE :

Sebanyak 20 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara berentap bagi merebut gelaran juara dalam Pertandingan Debat Pengurusan IPT 2014 yang berlangsung selama tiga hari mulai 18 September di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Antara IPT yang mengambil bahagian ialah UUM, Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Universiti Selangor, Kolej Universiti Insaniah, Politeknik Premier Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Monash University dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, Yang Berhormat Noor Sabrina Mohd Noor dan turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Madya Dr. Abdul Malek Abdul Karim yang mewakili Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Mohamed Mustafa Ishak serta pegawai-pegawai kanan UUM.

Yang Berhormat dalam ucapannya melahirkan rasa gembira kerana banyak IPT yang mengambil bahagian dalam pertandingan yang julung kalinya diadakan sempena ulang tahun ke-30 UUM sebagai tuan rumah.

Menurutnya, penyertaan yang ramai itu secara tidak langsung menghubungkan ukhwah dan ikatan persahabatan dalam kalangan mahasiswa di universiti-universiti awam mahupun swasta.

"Pertandingan debat seperti ini menjadi platform untuk mencari dan menggilap bakat baru dan secara tidak langsung juga dapat memperkasakan pemikiran kreatif dan intelektual mahasiswa."

"Saya percaya pertandingan yang dianjurkan ini mampu melatih dan melahirkan pendebat-pendebat yang akan mengukir nama di persada negara mahupun antarabangsa," katanya.

Menurut beliau lagi, dalam mengejar kemenangan, semangat untuk bersaing dan melahirkan mahasiswa yang petah berhujah, berkeyakinan untuk berhujah di hadapan khalayak juga adalah faktor utama yang perlu dititikberatkan.

Beliau berharap agar semangat bersaing seumpama ini dapat dikekalkan sepanjang masa, bukan sahaja dalam debat tetapi turut dipamer dalam pelajaran.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Abdul Malek Abdul Karim berkata, pertandingan debat itu diadakan bagi memperkenal dan melahirkan pemidato yang hebat dan bertaraf dunia.

Menurutnya, asas utama debat adalah pemikiran kritis dan penghujahan yang berada di tengah-tengah proses pemikiran dan budaya ilmu. Ia merupakan jalan menuju pemikiran rasional.

"Malah, dalam negara demokrasi, elemen debat adalah amat penting. Contohnya, dalam bidang politik ianya memberi peluang kepada rakyat untuk menilai kepimpinan, perjuangan dan haluan individu, kumpulan atau parti politik."

"Sehubungan itu, saya berharap pertandingan ini akan menjadi medan untuk melihat sejauh mana pengetahuan pelajar mengenai isu-isu berkaitan pengurusan di negara ini serta kewibawaan mereka dalam membahaskan isu tersebut," ujar beliau.

Habis.

===============================

DARIPADA:

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

UNIVERSITI UTARA MALAYSIA

TEL.: 04-928 3048/3049/3042/3040

FAKS: 04-928 3053

E-MEL: ukkuum@uum.edu.my

FACEBOOK: Universiti Utara Malaysia (Official FB)

  1. e-Application
  2. Intranet Systems
Legal Disclaimer |Privacy & Security Policy |Copyright | Site Map | FAQ's | Service Desk | User Support | hit counter script