UUM ONLINE, 8 Ogos 2024: Pejabat Penolong Naib Canselor Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (UUM COLGIS) telah menganjurkan satu taklimat berkaitan Program Postgraduate Diploma in Higher Education Learning and Teaching (PGDHELT) yang disampaikan oleh Penolong Naib Canselor UUM COLGIS iaitu Yang Berusaha Prof. Dr. Harlida binti Abdul Wahab. Taklimat ini memberi fokus kepada pelaksanaan dan pemahanan pensyarah baru tentang Program PGDHELT secara atas talian Webex Online Meeting.
Dalam sesi taklimat tersebut, beberapa perkara penting yang ditekankan oleh PNC UUM COLGIS seperti program PGDHELT tidak lagi menjadi syarat pengesahan jawatan bagi pensyarah di UUM. Ini merupakan perubahan dalam polisi universiti yang bertujuan untuk memberikan lebih fleksibiliti kepada staf akademik.
Walaupun PGDHELT bukan lagi syarat pengesahan jawatan, pensyarah tetap diwajibkan untuk mengikuti kursus persijilan yang ditetapkan oleh Universiti. Kursus-kursus ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan UUM untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di institusi ini.
Prof. Dr. Harlida juga turut menegaskan bahawa pensyarah masih boleh mengambil PGDHELT sebagai sijil tambahan. Ini memberikan peluang kepada pensyarah yang ingin memperkaya kemahiran dan pengetahuan mereka dalam pengajaran dan pembelajaran di peringkat pendidikan tinggi.
Taklimat tersebut diakhiri dengan sesi soal jawab, di mana para pensyarah berpeluang untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada Prof. Dr. Harlida mengenai pelaksanaan program PGDHELT dan isu-isu berkaitan. Sesi ini membantu menjawab pelbagai persoalan dan kebimbangan yang mungkin timbul dalam kalangan pensyarah mengenai perubahan polisi dan pelaksanaan program ini.
Dengan pelaksanaan taklimat PGDHELT ini, UUM COLGIS dilihat terus komited dalam menyediakan pendidikan berkualiti tinggi dan memastikan pensyarahnya dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran terkini dalam bidang pengajaran dan pembelajaran.