Sintok, 12 Ogos 2024 – Pejabat Penolong Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) COLGIS dengan kerjasama Kelab Kebajikan Pusat Pengajian Undang-undang (SoL), Pusat Pengajian Kerajaan (SoG), Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Ghazali Shafie Graduate School (GSGSG), dan Pusat Alumni, telah menganjurkan satu aktiviti fizikal iaitu Langkah Jiwa Merdeka.
Encik Zul Rusydi Hussin, Ketua Penolong Pengarah Kanan yang mewakil Penolong Naib Canselor UUM COLGIS, menyatakan bahawa usaha ini adalah sejajar dengan saranan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan staf UUM, terutamanya bagi mereka yang akan menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan oleh Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan Universiti (PKKU). “Aktiviti ini bukan sahaja dapat memupuk semangat kesukanan di kalangan staf tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang pentingnya menjaga kesihatan, lebih-lebih lagi dalam suasana kerja yang sibuk,” katanya.
Aktiviti ini juga diadakan bersempena dengan bulan kemerdekaan, dengan matlamat untuk menghidupkan semangat patriotik dalam kalangan warga universiti. Beliau menambah, “Melalui Langkah Jiwa Merdeka, kami berhasrat untuk menyatukan semua staf dari pelbagai pusat pengajian di bawah satu payung, sekaligus meningkatkan semangat perpaduan dan kerjasama.” . Aktiviti ini, yang dihadiri oleh lebih 100 orang staf, terdiri daripada aktiviti plogging sepanjang laluan ke Masjid.
Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan para peserta berharap agar lebih banyak aktiviti seperti ini akan dianjurkan pada masa akan datang untuk terus menggalakkan budaya kerja yang lebih positif dan sihat di kalangan staf UUM COLGIS.