UUM ONLINE: Pejabat Penolong Naib Canselor, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM COLGIS), melibatkan semua Pusat Pengajian UUM COLGIS telah mengadakan Bengkel Pemurnian Laman Sesawang di Makmal Komputer Eksekutif, Pusat Konvensyen, Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.
Penolong Naib Canselor UUM COLGIS, Prof. Dr. Harlida Abd Wahab berkata, bengkel ini merupakan langkah penting dalam memastikan laman sesawang menjadi saluran komunikasi utama terutamanya pada orang luar supaya ianya relevan dan informatif.
Menurutnya, ia juga untuk memperkemas dan meningkatkan mutu kandungan laman sesawang terutamanya pusat pengajian di bawah UUM COLGIS agar lebih mesra pengguna serta memenuhi keperluan penjenamaan universiti.
“Selain itu, bengkel ini turut memberi penekanan kepada kemas kini maklumat terbaru di laman sesawang.
“Saya berharap inisiatif ini dapat meningkatkan pengalaman dan kepakaran staf yang menguruskan laman sesawang serta meningkatkan reputasi institusi di peringkat nasional serta antarabangsa,” katanya.
Bengkel ini disertai oleh staf akademik dan pentadbiran dari semua pusat pengajian di bawah COLGIS dengan bantuan tenaga pakar daripada Pegawai Teknologi Maklumat UUMIT, Ahmad Zabil Albar Othman yang berkongsi panduan dan amalan terbaik dalam pengurusan laman sesawang.
Dengan penganjuran bengkel ini, Pejabat Penolong Naib Canselor UUM COLGIS terus komited dalam menyokong transformasi digital universiti demi memperkukuhkan visinya sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka.